Kisah Di Sebalik Lagu “Standing in the Eyes of the World”
Ella & Lagu Ikonik Sukan Komanwel 1998
Dah agak lama blog ni sunyi. Banyak masa habis dengan paperwork yang tak pernah habis. Tapi masa tengah khusyuk siapkan dokumen, sambil earbud tersumbat kat telinga dan Spotify jadi teman kerja, aku tersentap dengan satu lagu – “Standing in the Eyes of the World” terus aku cari infomasi pasal lagu ni.
Lagu legendary “Standing in the Eyes of the World” yang di dendangkan oleh -Ella (Ikon Ratu Rock Malaysia) bukan sekadar lagu tema – ia adalah simbol semangat, harapan dan kebanggaan rakyat Malaysia, diabadikan menerusi suara Ella sempena Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Asal-Usul Lagu
Lagu ini merupakan hasil ciptaan Datuk Wah Idris bersama David Gates dari AS, dan lirik ditulis oleh penulis terkenal Habsah Hassan. Ia dilancarkan pada tahun 1998 sebagai lagu tema rasmi SUKOM.

Mengapa Ella?
Pemilihan Ella dibuat oleh Datuk Wah sendiri kerana vokalnya unik dan penuh tenaga. Malah dalam rakaman lagu tersebut, mereka masukkan elemen tradisional seperti kompang bagi mengekalkan identiti Malaysia walaupun berentak pop antarabangsa.
Semangat Lirik Yang Membara
Lirik lagu ini menyampaikan mesej perjuangan, pengorbanan dan impian. Ia menjadi siulan ramai bukan sahaja waktu Sukan Komanwel, tetapi juga semasa sambutan kemerdekaan dan acara kebangsaan lain.
Reaksi Pemusik Antarabangsa
Pada Julai 2020, lagu ini diberi nafas baru oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam satu kolaborasi diplomasi budaya. Mereka menampilkan pemuzik dari AS dan Malaysia menyanyikan lagu ini bersama Ella sebagai simbol persahabatan dua negara sempena Hari Kemerdekaan A.S.
- Ron “Bumblefoot” Thal (bekas gitaris Guns N' Roses)
- Gabrielle Stravelli (penyanyi jazz AS)
- Tony Memmel (penyanyi folk yang bermain gitar dengan satu tangan)
- Farewell Angelina – kumpulan country-pop wanita dari Nashville
- Zee Avi – penyanyi Malaysia-AS dengan sentuhan ukulele
Persembahan istimewa sempena Hari Kemerdekaan A.S. 2020 – kolaborasi Ella bersama pemuzik dari Amerika Syarikat.
Menurut Duta A.S. Kamala Lakhdhir, kolaborasi ini “menunjukkan muzik adalah bahasa sejagat yang menyatukan manusia”. Ella sendiri menyifatkan projek ini sebagai satu penghormatan yang membanggakan dan membuktikan kekuatan muzik tempatan menembusi sempadan dunia.
Warisan Abadi
Lebih dua dekad kemudian, lagu ini masih dimainkan dalam pelbagai acara rasmi. Pada Sukan SEA 2017, ia dinyanyikan semula dalam persembahan penutup, dan digunakan sebagai latar dalam video nasional sempena Hari Kebangsaan.
“This is the moment… we’ve waited for…” – baris ikonik yang terus membakar semangat dalam jiwa rakyat Malaysia hingga hari ini.